Friday, 29 November 2013

Moga-moga Tuhan terima

Bismillahirrahmanirrahim.

"Lama hilang?"
"Belum kuat mahu pulang."
"Sampai bila?"
diam. 
"Doakan saja."

Kali ini pemergian aku yang paling lama. Sangat lama. 
Mencari-cari, entah apa. Sudah jumpakah? Angkat bahu, geleng kepala. 

Tetapi sungguh, fitrah dari kecintaanku pada penulisan tidak pernah hilang. Masih menulis, cuma lebih pendek, dan lebih tersimpan. Aku rasa. 

“Kita perlu jatuh cinta atau patah hati untuk dapat membuat puisi yang bagus.” 

― Helvy Tiana Rosa  

Sungguh, 3 bulan yang lalu merupakan detik-detik ujian paling lebat dalam perjalanan hidupku.

Kau tahu, patah hati bisa membuatkan seseorang menjadi dua kemungkinan,
patah hati yang membuatkannya jatuh terduduk namun bangkit melangkah lebih jauh,
ataupun patah yang membuatkannya tersungkur lalu tenggelam dalam kesedihannya tanpa berusaha untuk timbul.

Alhamdulillah, subhanAllah. 

Keretakan yang membuatkan aku sedar diri ini hanya hamba yang hina, bahawa jalan inilah sepatutnya jalan kecintaanku sepenuh jiwa raga. Ampuni aku ya Tuhan, tanpa sedar jalan ini aku duakan. 

InshaAllah, blog ini akan kembali dihidupkan.
Moga-moga Tuhan masih sayang, masih mahu pandang,

lelah hina hamba ini yang selamanya berusaha untuk pulang.

29112013
Beijing,China
Mengira-ngira hari bilakah akan ditarik pergi.

Autumn Trip, Sichuan, China 2013.


Thursday, 4 April 2013

Engkau hanya perlu tahu

Bismillah..

bagi yang rindu,
engkau hanya perlu tahu,
aku di sini masih tidak henti
mendoakanmu
untuk suatu saat bisa ketemu.

bagi yang jatuh,
engkau hanya perlu tahu,
aku di sini masih tidak jemu
mendoakanmu
untuk bangun dan berlari laju.

bagi yang sinis,
engkau hanya perlu tahu,
aku di sini masih tersenyum
mendoakanmu
untuk nanti kita bisa bersatu.

dunia tidak selalu merah jambu di luar sana,
tapi aku masih menikmati tiap saat bersama.
aku kemari untuk bertanya khabar atau  ada yang terlupa untuk hak-hak yang tak sempat tertunaikan.

oh sebelum terlupa,
bagaimana tilawahmu hari ini?

senyum. aku senang berada di dunia luar sana, dikelilingi akhawat dan mad'u yang selalu mengajar untuk aku ngerti bahawa dakwah itu tidak pernah mudah. Namun Allah akan memudahkan dengan cara yang paling Dia redha. Kita tidak pernah jangka pertolongan yang bagaimana Allah akan hantarkan, walau dengan cara paling luar logik alam sekalipun, namun ketika Allah berkata Kun maka jadilah. Sangat banyak kiranya mahu dikongsikan. Nanti andai bisa ketemu, satu satu aku ceritakan ya? InshaAllah.

dan dunia dakwah sebenar ini, selalu menemukan aku dengan tarbiyyah yang tidak putus-putus. Kamu harus belajar untuk banyak mendengar dari bercakap. Banyak memberi dari menerima. Banyak membaca dari menulis (hihi). Banyak .... Iya, langsung semuanya memang untuk dakwah ilallah kan?

jangan jemu membersihkan hati. kerana justru kebersihan hati itu lah yang akan menguatkan ikatan sesama kita. Tidak perlu jadi orang yang paling hebat di kalangan kamu, cukuplah menjadi orang yang paling ikhlas hatinya dalam ukhuwwah dan dakwah.

doakan,
nanti Allah izin, kita bisa ketemu.

Aamiin.


senyum dari bunga sakura.
beijing, china
04042013



Sunday, 24 February 2013

"Jangan ikut kakak.."

Bismillahirrahmanirrahim..

Tinggal beberapa hari sahaja lagi sebelum aku meninggalkan bumi Malaysia ini untuk kembali ke 'medan' sana. Iya, medan ideal kami, terlalu ideal hinggakan terasa kadang kadang buat kerja dakwah pun tidak bersungguh-sungguh. Astaghfirullahal'azhim..

Sepanjang percutian kali ini, banyak tarbiyyah yang dapat aku lihat dan belajar, dari keluarga , sahabat, akhawats, dan manusia manusia yang langsung bukan kenalan. Satu sahaja yang ingin aku katakan,

Kerja kita masih banyak.
Masih.

Tetapi dalam merasai beratnya tanggungjawab itu, Allah hadirkan perasaan gembira dan sakinah apabila melihat ramai pihak yang tengah berusaha melakukan perubahan dalam komuniti komuniti kecil sekalipun. Alhamdulillah 'ala kulli hal.

Ada sesuatu yang ingin ku sentuh di sini. Ia bukanlah sesuatu benda yang negatif mahupun jahiliyyah yang sangat teruk, tetapi kalau tidak diperingatkan dan dibersihkan mungkin akan menjadi asbab pula kita meninggalkan jalan dakwah ini. Aku menulis untuk aku.

Tentang sebuah ukhuwwah.

"Jangan ikutkan dakwah kerana manusia. Jangan sekali. Jangan bersama gerabak ini hanya kerana naqibah mahupun ukhuwah. Walaupun ukhuwah itu manifestasi iman, tapi seringkali kita tertipu dengan makna ukhuwah, sehinggakan apabila berlaku persengkataan, kita sudah tidak menyertai dakwah ini."
-- Muharikah "buatlah persiapan"

Ini bingkisan dari tulisan Kak AisyahZ tempoh hari. Buat para muharik dakwah yang masih menuntut di medan dakwah ideal di luar sana.

Tertarik dengan point ukhuwwah yang kak Aisyah mentioned kan di situ. Iya, ramai, bahkan sangat ramai yang mengikuti gerabak dakwah ini kerana tersentuh dengan kebaikan-kebaikan yang akhawat tunjukkan. Kakak naqibahnya, usratinya, mungkin akhawat yang ditemui sepanjang jalan ini, mereka begitu ikhlas, begitu memahami saat perasaan kita jatuh dan hati hiba menangisi. Lantaran itu kita mahu juga bersama- sama mereka merasai kemanisan-kemanisan di sepanjang perjalanan dakwah ini. Hanya kerana kemanisan ukhuwwah itu mahu dirasai sepanjang masa.

Salahkah? Tidak, ukhti. Kerana justru memang ukhuwwah itu hasil dari iman. Keimanan yang jitu dan ampuh bahkan melahirkan ukhuwwah yang begitu ikhlas.

Tetapi ukhti sayang, akhawat yang kamu agungkan, murobbi yang kamu sanjungkan, mereka juga manusia. Ada masanya mereka juga jatuh terduduk, bahkan tersungkur, di jalan ini. Adakalanya mereka juga bermasam muka, ada juga masanya mereka perlu masa bersendiri, ada masanya mereka futur lemah dalam amal-amalnya. Ada masanya mereka tidak membalas mesej luahan curhat kamu, kerana mungkin dalam dirinya juga sedang melalui konflik yang serupa, bahkan mungkin lebih besar lagi. Jangan expect naqibah kita akan sentiasa memanjakan kita. Tetapi jangan dilupa, mereka tidak pernah pula lupakan kita dalam setiap sujud doanya. Ukhuwwah yang paling asas adalah berlapang dada. Seandainya kamu berpeluang untuk tinggal bersama akhawat dalam RI( rumah Islam), maka cubalah dan belajar untuk memahami dan merasai ujian ujian ukhuwwah itu sendiri.

Tujuan sebenar kita berada di medan D&T ( dakwah dan tarbiyyah) ini bukan hanya ukhuwwah, sayang. Bersihkan niat kita dalam menapaki jalan ini, kerana sesungguhnya, akan tiba satu masa Allah akan uji, atas pegangan apakah kita berada di sini. Andai saat itu yang tercicir dari gerabak dakwah ini adalah kerana ukhuwwah yang rabak dan lompong, maka seharusnya kita istighfar dan perbetulkan semula niat sebelum sampai saat itu. Kita mahu berada di sini kerana Allah, dan juga memahami bahawa tanggungjawab dakwah itu yang akan bawa kita ke syurga.

Walau apa pun berlaku, seteruk mana perasaan kamu, tetap jangan tinggalkan jalan ini. Kita tidak tahu bagaimana akhirnya langkah kita, maka sabarlah, dan perbaiki diri. InshaAllah Allah akan tunjukkan jalan bagi mereka yang berusaha mahu mendekatiNya.

"Kerana motivasi kita, adalah berjumpa dan melihat wajah Allah di syurga, ukhti. "

Ada yang mengikuti dakwah kerana takutkan dosa, maka beratlah langkahnya kerana merasai beban negatif perasaannya sendiri;
Ada yang mengikuti dakwah kerana mahukan syurga, maka apakah beza dia dengan orang biasa yang mahu juga jejak ke sana?
Namun sesungguhnya ada satu golongan yang mengikuti dakwah hanya kerana mahukan redha Allah, maka bergembiralah dia saat Allah berjumpa dengannya dan membentangkan syurga di depannya.

Ini adalah tiga golongan yang suka untuk saya ingatkan diri sendiri terlebih dahulu, diekstrak dari tafsir Ad Dhuha.

Moga tidak lelah dalam beriman dan beramal, doakan untuk para muharik dakwah di dalam atau luar negara, moga terus maju mengalir bersama arus dakwah.

Ukhtukumfillah,
Infiru
24022013
Melaka