Sunday 24 February 2013

"Jangan ikut kakak.."

Bismillahirrahmanirrahim..

Tinggal beberapa hari sahaja lagi sebelum aku meninggalkan bumi Malaysia ini untuk kembali ke 'medan' sana. Iya, medan ideal kami, terlalu ideal hinggakan terasa kadang kadang buat kerja dakwah pun tidak bersungguh-sungguh. Astaghfirullahal'azhim..

Sepanjang percutian kali ini, banyak tarbiyyah yang dapat aku lihat dan belajar, dari keluarga , sahabat, akhawats, dan manusia manusia yang langsung bukan kenalan. Satu sahaja yang ingin aku katakan,

Kerja kita masih banyak.
Masih.

Tetapi dalam merasai beratnya tanggungjawab itu, Allah hadirkan perasaan gembira dan sakinah apabila melihat ramai pihak yang tengah berusaha melakukan perubahan dalam komuniti komuniti kecil sekalipun. Alhamdulillah 'ala kulli hal.

Ada sesuatu yang ingin ku sentuh di sini. Ia bukanlah sesuatu benda yang negatif mahupun jahiliyyah yang sangat teruk, tetapi kalau tidak diperingatkan dan dibersihkan mungkin akan menjadi asbab pula kita meninggalkan jalan dakwah ini. Aku menulis untuk aku.

Tentang sebuah ukhuwwah.

"Jangan ikutkan dakwah kerana manusia. Jangan sekali. Jangan bersama gerabak ini hanya kerana naqibah mahupun ukhuwah. Walaupun ukhuwah itu manifestasi iman, tapi seringkali kita tertipu dengan makna ukhuwah, sehinggakan apabila berlaku persengkataan, kita sudah tidak menyertai dakwah ini."
-- Muharikah "buatlah persiapan"

Ini bingkisan dari tulisan Kak AisyahZ tempoh hari. Buat para muharik dakwah yang masih menuntut di medan dakwah ideal di luar sana.

Tertarik dengan point ukhuwwah yang kak Aisyah mentioned kan di situ. Iya, ramai, bahkan sangat ramai yang mengikuti gerabak dakwah ini kerana tersentuh dengan kebaikan-kebaikan yang akhawat tunjukkan. Kakak naqibahnya, usratinya, mungkin akhawat yang ditemui sepanjang jalan ini, mereka begitu ikhlas, begitu memahami saat perasaan kita jatuh dan hati hiba menangisi. Lantaran itu kita mahu juga bersama- sama mereka merasai kemanisan-kemanisan di sepanjang perjalanan dakwah ini. Hanya kerana kemanisan ukhuwwah itu mahu dirasai sepanjang masa.

Salahkah? Tidak, ukhti. Kerana justru memang ukhuwwah itu hasil dari iman. Keimanan yang jitu dan ampuh bahkan melahirkan ukhuwwah yang begitu ikhlas.

Tetapi ukhti sayang, akhawat yang kamu agungkan, murobbi yang kamu sanjungkan, mereka juga manusia. Ada masanya mereka juga jatuh terduduk, bahkan tersungkur, di jalan ini. Adakalanya mereka juga bermasam muka, ada juga masanya mereka perlu masa bersendiri, ada masanya mereka futur lemah dalam amal-amalnya. Ada masanya mereka tidak membalas mesej luahan curhat kamu, kerana mungkin dalam dirinya juga sedang melalui konflik yang serupa, bahkan mungkin lebih besar lagi. Jangan expect naqibah kita akan sentiasa memanjakan kita. Tetapi jangan dilupa, mereka tidak pernah pula lupakan kita dalam setiap sujud doanya. Ukhuwwah yang paling asas adalah berlapang dada. Seandainya kamu berpeluang untuk tinggal bersama akhawat dalam RI( rumah Islam), maka cubalah dan belajar untuk memahami dan merasai ujian ujian ukhuwwah itu sendiri.

Tujuan sebenar kita berada di medan D&T ( dakwah dan tarbiyyah) ini bukan hanya ukhuwwah, sayang. Bersihkan niat kita dalam menapaki jalan ini, kerana sesungguhnya, akan tiba satu masa Allah akan uji, atas pegangan apakah kita berada di sini. Andai saat itu yang tercicir dari gerabak dakwah ini adalah kerana ukhuwwah yang rabak dan lompong, maka seharusnya kita istighfar dan perbetulkan semula niat sebelum sampai saat itu. Kita mahu berada di sini kerana Allah, dan juga memahami bahawa tanggungjawab dakwah itu yang akan bawa kita ke syurga.

Walau apa pun berlaku, seteruk mana perasaan kamu, tetap jangan tinggalkan jalan ini. Kita tidak tahu bagaimana akhirnya langkah kita, maka sabarlah, dan perbaiki diri. InshaAllah Allah akan tunjukkan jalan bagi mereka yang berusaha mahu mendekatiNya.

"Kerana motivasi kita, adalah berjumpa dan melihat wajah Allah di syurga, ukhti. "

Ada yang mengikuti dakwah kerana takutkan dosa, maka beratlah langkahnya kerana merasai beban negatif perasaannya sendiri;
Ada yang mengikuti dakwah kerana mahukan syurga, maka apakah beza dia dengan orang biasa yang mahu juga jejak ke sana?
Namun sesungguhnya ada satu golongan yang mengikuti dakwah hanya kerana mahukan redha Allah, maka bergembiralah dia saat Allah berjumpa dengannya dan membentangkan syurga di depannya.

Ini adalah tiga golongan yang suka untuk saya ingatkan diri sendiri terlebih dahulu, diekstrak dari tafsir Ad Dhuha.

Moga tidak lelah dalam beriman dan beramal, doakan untuk para muharik dakwah di dalam atau luar negara, moga terus maju mengalir bersama arus dakwah.

Ukhtukumfillah,
Infiru
24022013
Melaka




Friday 8 February 2013

Tentang Jalan Ini

Bismillah..

Saudaraku,

Biarlah, banyak yang mengira menapaki jalan ini, jalan para Nabi, jalan orang-orang soleh, jalan para syuhada, jalan para pejuang da'wah, adalah beban yang sangat berat. Berat, kerana harus banyak bertabrakan dengan kondisi yang berbenturan dengan keinginan. Berat, kerana selalu bersinggungan dengan realitas yang tidak sejalan dengan harapan. Berat, kerana melihat betapa kemungkaran begitu bermaharajalela. Berat, kerana harus terus menerus berjalan melawan arus yang berbeda dengan kebanyakan orang.

Biarlah orang menyangka seperti itu. Kerana sebenarnya kita justru merasakan kebalikannya. Kenikmatan, ketenangan, kebersahajaan, yang tak bisa dibayar oleh apa pun. Kerana kita justru merasakan pengorbanan itu sebagai sumber kebahagiaan. Kerana kita justru merasakan jerih payah dan kesulitan di jalan ini, sebagai kunci ketenangan hati. Kerana kita justru merasakan peluh dan darah di jalan ini, adalah syarat meraih kesenangan."

-- Muhammad Nursani
"Berjuang di dunia, berharap pertemuan di syurga"

Ukhti,
keberadaan kita di jalan ini bukan sia sia, malah rahmat dari Allah yang memungkinkan kita sampai ke hari ini. Alhamdulillah wastaghfirullah, betapa ramai yang berbondong- bondong mahu mengikuti jalan ini tetapi akhirnya tertapis oleh tribulasi-tribulasi di sepanjang perjalanan. Benar, ianya menuntut darah dan air mata, sakit kita, peluh kita, tangis kita, Allah kira, ukhti.

Ukhti,
Sememangnya fitrah jalan ini akan selalu bertentangan dengan keinginan kita, akan selalu memerlukan kita mengorbankan apa yang kita sayang, kerana di situ Allah mahu mengajar kita pergantungan sepenuhnya pada Dia, hanya Dia.

Ukhti,
Adalah suatu kemanisan bila mana semua yang pahit tadi bertukar menjadi pengalaman yang sangat berharga bagi kita sebagai da'ie. Iya, kita akan selalu menongkah arus yang beda dengan ramai orang, begitulah sifatnya orang yang asing. Asing dalam kegelapan dunia, asing dari kepekatan jahiliyyah.

Pengorbanan kita, akan terbayar segalanya bila kita sudah sampai di syurga nanti. Bersabarlah, terus bergerak dan beramal demi nama Tuhanmu yang paling Agung.

"Dulu sebelum join tarbiyyah, ana selalu doa untuk dapat syurga Firdausi, tapi fikir fikir, syurga Firdausi itu kan hanya untuk para Nabi sebab ia paling tinggi. Dan Allah sesungguhnya sangat mengabulkan doa hambaNya, Dia kurniakan ana utk berjalan di atas jalan yang dilalui oleh para Nabi terdahulu."

-kerana di jalan inilah yang akan menghantarkan kita ke syurgaNya yang paling tinggi.

Moga kita semua dapat bertemu di syurgaNya nanti.

Allah hafeez

Toriq
Shah Alam
08022013