Thursday 26 December 2013

Pemberani

Bismillahirrahmanirrahim..
"We realise the importance of light when we see darkness."
Perempuan Pemberani : Malala


Hidup memerlukan keberanian,
berani untuk hadap realiti hari-hari.
-harga minyak naik gaji tak naik-naik
-kerja-assignment yang tidak berpenghujung
-harga rumah melambung aku masih menyewa
-duit makan pakai keluarga hari-hari?

dan seterusnya.

Kau fikir untuk mati sahaja yang perlu berani?
Salah.
untuk hidup,
kau perlu lebih berani.

Berani buka mata setiap hari
dan terima kondisi hidup kau masih begini.

untuk bangkit dan pikul semula beban yang kau tinggalkan
sekejap tadi malam
dan teruskan lagi berlari

menuju Tuhan.


Syafiqah, 26122013
beijing,china

p/s : Dakap erat hujung disember.
dengar kata tahun 2014 bakal naik lagi harga.

Wednesday 25 December 2013

Aku tahu kau membaca

Bismillahirrahmanirrahim..

Perkara terbaik bagiku sepanjang hidup adalah berada di jalan ini, bersama-sama manusia yang berhati indah, menuju Tuhan yang penuh cinta. - Syafiqah-


"Pernah tak kau rasa, kenapa Allah masih meletakkan kau di jalan ini, walau kau rasa dosa kau sudah menggunung, dan sudah tidak layak langsung memegang gelaran dai'e, tapi masih lagi Allah terus memilih kau dari hari ke hari, pernah?"

dan kenapa?

Pertama dan sungguh yang utamanya, tentulah kerana kasih dan rahmannya Tuhan, yang tidak pernah berganjak walau seinci walaupun berkali-kali taubat kau nodai.

dan yang kedua, aku rasa, adalah kerana ada golongan manusia yang berhati suci, Allah hantarkan pada kau sama ada kau kenal atau tidak, pernah jumpa atau tidak, untuk mendoakan kau. Mungkin dari awal perjalanan, mungkin di tengah-tengah, sampailah ke hari ini kau berdiri, atas doa-doa mereka yang paling diam, dan paling ikhlas.

SubhanAllah, Alhamdulillah, Allahuakhbar,

kata terima kasih dan syukur menjadi terlalu kecil apabila berhadapan dengan manusia-manusia langit sebegini. Aku kira, mereka adalah persis malaikat penjaga, yang selalu menabur doa dalam senyap, ketika melihat jatuh bangun kau yang berusaha menjadi hamba Dia.

Aku tidak tahu ada berapa orang yang sudi mendoakan aku, dan sungguh, aku tidak layak sebenarnya mahu meminta didoakan, sebagai hamba yang paling hina, banyak dosa ini, aku cuma mampu meminta pada Tuhan, pada rindu-rindu yang tersimpan dalam kelopak doa akhir sujud dan setiap tadah tangan, untuk dijagakan mereka, diredhai setiap amalnya, diampunkan segala dosa, dan diberi syurga tertinggi di sana. Iya, kalian yang membaca, walau aku tahu kita tidak pernah berjumpa.

Wahai hati-hati indah yang membaca,
aku masih berdiri di sini atas kerana kasih Tuhan dan doa kalian,
Wallahi, andai nanti ketemu di akhirat,
minta Tuhan berikan aku sedikit waktu,
untuk aku ucapkan terima kasih satu persatu.

atau paling tidak,
biarlah ada pahala aku yang sedikit ini dapat dikongsi bersama kalian.
moga-moga Allah melihat kita dan tersenyum
dan moga kita diampunkan.

Allahumma Aaamiin.

Mohon maaf untuk semua tersalah silap, terkasar bahasa, dan atas segala qudwah yang tidak mampu dijaga lagi.

Aku masih lagi seorang hamba yang ingin dicintai Tuhannya.

Moga Tuhan kasih,
moga Tuhan ampun.

Terima kasih sekali lagi,Tuhan,
untuk manusia-manusia langit yang Kau hantarkan,

menghampiri akhir Disember,
Syafiqah, 25122013
Beijing, China.


Monday 23 December 2013

Masih lagi, tentang perempuan

Bismillahirrahmanirrahim

Perempuan itu tidak rumit,
Ia cuma selalu gagal dalam hal-hal melupakan.

Dan ketika ini, aku masih gagal.

Catatan akhir disember,
Beijing, China.





Thursday 19 December 2013

Perempuan Sempurna

Bismillahirrahmanirrahim..

Perempuan itu
kini sudah sempurna.
Dengan luka-luka semalam
dan parut kelmarin justru
menjadikan dia
lebih indah
dari sebelumnya.

Menuju Beijing, 30093013

Ini, catatan kecilku ketika dalam kapal menuju pulang ke bumi tembok besar ini. Enam jam perjalanan, membuat otakku riuh dalam sunyi. Sunyi, terasing dalam sebuah kapal penuh musafir. Riuh, suara-suara kecil dari fikiran yang akhir tertumpah dalam bentuk-bentuk tulisan.

lalu aku temukan konklusi :-

Perempuan sempurna itu bukan yang tidak pernah tercela, tapi dia,
Yang tetap gagah tersenyum walau berkali dihambat luka.

Kerana akhir, luka-luka itulah yang menjadikan dia lebih indah.

Senyumlah wahai perempuanku, kau masih tetap indah di mataku.
dan cela dosa itu langsung tidak menutup jalanmu untuk pulang kembali
menjadi hamba yang dicintai Tuhan,selalu.

Beku itu masih tidak mendinginkan fitrahmu.



Masih hamba, 191220113
SR, Beijing, China.

Sunday 8 December 2013

Struggle

Bismillah

air mata luruh sedang langit itu terlalu menyentuh.

Saatnya kita berperang,
antara fitrah seorang hamba yang punya noda dan dosa,
dengan kewajipan seorang dai'e yang perlu menjaga qudwahnya,

Kau takkan rasa,
sakitnya tidak sama.

Tuhan, cuma Engkau tempat aku bersandar
saat dunia terasa menyesakkan.



Hamba hina,
08122013
Beijing,China.

Rasa

Bismillah..


Saat aku kepatahan pena kehilangan aksara,
tahulah aku bahawa sungguh aku sudah lama tidak membaca.

Baca, yang membawa hati terbang menyatu sama isinya.
Iman, fikrah, jiwa, rasa

Dan paling tulus,
mushaf itu,
ayat-ayat cinta Dia.

mari?
kita duduk bertemu bahu,
sedut satu-satu,
nafas cinta.

5:55pm, 08122013
Falah

Sunday 1 December 2013

Antara Patah dan Luka

Bismillah..

dan cinta itu harus disusuli dengan ketaatan.

Jangan-jangan Tuhan sengaja
Berikan kau patah dan luka
Supaya akhir kau sedar
Hanya Dia yang paling cinta.

Bagaimana kisah sang Ayah yang diperintah menyembelih Anak kesayangannya,
begitulah ia, tanda cinta Sang Khaliq pada hambaNya.

Cemburu Tuhan itu Maha Indah!



011213
Falah

Friday 29 November 2013

Moga-moga Tuhan terima

Bismillahirrahmanirrahim.

"Lama hilang?"
"Belum kuat mahu pulang."
"Sampai bila?"
diam. 
"Doakan saja."

Kali ini pemergian aku yang paling lama. Sangat lama. 
Mencari-cari, entah apa. Sudah jumpakah? Angkat bahu, geleng kepala. 

Tetapi sungguh, fitrah dari kecintaanku pada penulisan tidak pernah hilang. Masih menulis, cuma lebih pendek, dan lebih tersimpan. Aku rasa. 

Kita perlu jatuh cinta atau patah hati untuk dapat membuat puisi yang bagus.” 

― Helvy Tiana Rosa  

Sungguh, 3 bulan yang lalu merupakan detik-detik ujian paling lebat dalam perjalanan hidupku.

Kau tahu, patah hati bisa membuatkan seseorang menjadi dua kemungkinan,
patah hati yang membuatkannya jatuh terduduk namun bangkit melangkah lebih jauh,
ataupun patah yang membuatkannya tersungkur lalu tenggelam dalam kesedihannya tanpa berusaha untuk timbul.

Alhamdulillah, subhanAllah. 

Keretakan yang membuatkan aku sedar diri ini hanya hamba yang hina, bahawa jalan inilah sepatutnya jalan kecintaanku sepenuh jiwa raga. Ampuni aku ya Tuhan, tanpa sedar jalan ini aku duakan. 

InshaAllah, blog ini akan kembali dihidupkan.
Moga-moga Tuhan masih sayang, masih mahu pandang,

lelah hina hamba ini yang selamanya berusaha untuk pulang.

29112013
Beijing,China
Mengira-ngira hari bilakah akan ditarik pergi.

Autumn Trip, Sichuan, China 2013.


Thursday 4 April 2013

Engkau hanya perlu tahu

Bismillah..

bagi yang rindu,
engkau hanya perlu tahu,
aku di sini masih tidak henti
mendoakanmu
untuk suatu saat bisa ketemu.

bagi yang jatuh,
engkau hanya perlu tahu,
aku di sini masih tidak jemu
mendoakanmu
untuk bangun dan berlari laju.

bagi yang sinis,
engkau hanya perlu tahu,
aku di sini masih tersenyum
mendoakanmu
untuk nanti kita bisa bersatu.

dunia tidak selalu merah jambu di luar sana,
tapi aku masih menikmati tiap saat bersama.
aku kemari untuk bertanya khabar atau  ada yang terlupa untuk hak-hak yang tak sempat tertunaikan.

oh sebelum terlupa,
bagaimana tilawahmu hari ini?

senyum. aku senang berada di dunia luar sana, dikelilingi akhawat dan mad'u yang selalu mengajar untuk aku ngerti bahawa dakwah itu tidak pernah mudah. Namun Allah akan memudahkan dengan cara yang paling Dia redha. Kita tidak pernah jangka pertolongan yang bagaimana Allah akan hantarkan, walau dengan cara paling luar logik alam sekalipun, namun ketika Allah berkata Kun maka jadilah. Sangat banyak kiranya mahu dikongsikan. Nanti andai bisa ketemu, satu satu aku ceritakan ya? InshaAllah.

dan dunia dakwah sebenar ini, selalu menemukan aku dengan tarbiyyah yang tidak putus-putus. Kamu harus belajar untuk banyak mendengar dari bercakap. Banyak memberi dari menerima. Banyak membaca dari menulis (hihi). Banyak .... Iya, langsung semuanya memang untuk dakwah ilallah kan?

jangan jemu membersihkan hati. kerana justru kebersihan hati itu lah yang akan menguatkan ikatan sesama kita. Tidak perlu jadi orang yang paling hebat di kalangan kamu, cukuplah menjadi orang yang paling ikhlas hatinya dalam ukhuwwah dan dakwah.

doakan,
nanti Allah izin, kita bisa ketemu.

Aamiin.


senyum dari bunga sakura.
beijing, china
04042013



Sunday 24 February 2013

"Jangan ikut kakak.."

Bismillahirrahmanirrahim..

Tinggal beberapa hari sahaja lagi sebelum aku meninggalkan bumi Malaysia ini untuk kembali ke 'medan' sana. Iya, medan ideal kami, terlalu ideal hinggakan terasa kadang kadang buat kerja dakwah pun tidak bersungguh-sungguh. Astaghfirullahal'azhim..

Sepanjang percutian kali ini, banyak tarbiyyah yang dapat aku lihat dan belajar, dari keluarga , sahabat, akhawats, dan manusia manusia yang langsung bukan kenalan. Satu sahaja yang ingin aku katakan,

Kerja kita masih banyak.
Masih.

Tetapi dalam merasai beratnya tanggungjawab itu, Allah hadirkan perasaan gembira dan sakinah apabila melihat ramai pihak yang tengah berusaha melakukan perubahan dalam komuniti komuniti kecil sekalipun. Alhamdulillah 'ala kulli hal.

Ada sesuatu yang ingin ku sentuh di sini. Ia bukanlah sesuatu benda yang negatif mahupun jahiliyyah yang sangat teruk, tetapi kalau tidak diperingatkan dan dibersihkan mungkin akan menjadi asbab pula kita meninggalkan jalan dakwah ini. Aku menulis untuk aku.

Tentang sebuah ukhuwwah.

"Jangan ikutkan dakwah kerana manusia. Jangan sekali. Jangan bersama gerabak ini hanya kerana naqibah mahupun ukhuwah. Walaupun ukhuwah itu manifestasi iman, tapi seringkali kita tertipu dengan makna ukhuwah, sehinggakan apabila berlaku persengkataan, kita sudah tidak menyertai dakwah ini."
-- Muharikah "buatlah persiapan"

Ini bingkisan dari tulisan Kak AisyahZ tempoh hari. Buat para muharik dakwah yang masih menuntut di medan dakwah ideal di luar sana.

Tertarik dengan point ukhuwwah yang kak Aisyah mentioned kan di situ. Iya, ramai, bahkan sangat ramai yang mengikuti gerabak dakwah ini kerana tersentuh dengan kebaikan-kebaikan yang akhawat tunjukkan. Kakak naqibahnya, usratinya, mungkin akhawat yang ditemui sepanjang jalan ini, mereka begitu ikhlas, begitu memahami saat perasaan kita jatuh dan hati hiba menangisi. Lantaran itu kita mahu juga bersama- sama mereka merasai kemanisan-kemanisan di sepanjang perjalanan dakwah ini. Hanya kerana kemanisan ukhuwwah itu mahu dirasai sepanjang masa.

Salahkah? Tidak, ukhti. Kerana justru memang ukhuwwah itu hasil dari iman. Keimanan yang jitu dan ampuh bahkan melahirkan ukhuwwah yang begitu ikhlas.

Tetapi ukhti sayang, akhawat yang kamu agungkan, murobbi yang kamu sanjungkan, mereka juga manusia. Ada masanya mereka juga jatuh terduduk, bahkan tersungkur, di jalan ini. Adakalanya mereka juga bermasam muka, ada juga masanya mereka perlu masa bersendiri, ada masanya mereka futur lemah dalam amal-amalnya. Ada masanya mereka tidak membalas mesej luahan curhat kamu, kerana mungkin dalam dirinya juga sedang melalui konflik yang serupa, bahkan mungkin lebih besar lagi. Jangan expect naqibah kita akan sentiasa memanjakan kita. Tetapi jangan dilupa, mereka tidak pernah pula lupakan kita dalam setiap sujud doanya. Ukhuwwah yang paling asas adalah berlapang dada. Seandainya kamu berpeluang untuk tinggal bersama akhawat dalam RI( rumah Islam), maka cubalah dan belajar untuk memahami dan merasai ujian ujian ukhuwwah itu sendiri.

Tujuan sebenar kita berada di medan D&T ( dakwah dan tarbiyyah) ini bukan hanya ukhuwwah, sayang. Bersihkan niat kita dalam menapaki jalan ini, kerana sesungguhnya, akan tiba satu masa Allah akan uji, atas pegangan apakah kita berada di sini. Andai saat itu yang tercicir dari gerabak dakwah ini adalah kerana ukhuwwah yang rabak dan lompong, maka seharusnya kita istighfar dan perbetulkan semula niat sebelum sampai saat itu. Kita mahu berada di sini kerana Allah, dan juga memahami bahawa tanggungjawab dakwah itu yang akan bawa kita ke syurga.

Walau apa pun berlaku, seteruk mana perasaan kamu, tetap jangan tinggalkan jalan ini. Kita tidak tahu bagaimana akhirnya langkah kita, maka sabarlah, dan perbaiki diri. InshaAllah Allah akan tunjukkan jalan bagi mereka yang berusaha mahu mendekatiNya.

"Kerana motivasi kita, adalah berjumpa dan melihat wajah Allah di syurga, ukhti. "

Ada yang mengikuti dakwah kerana takutkan dosa, maka beratlah langkahnya kerana merasai beban negatif perasaannya sendiri;
Ada yang mengikuti dakwah kerana mahukan syurga, maka apakah beza dia dengan orang biasa yang mahu juga jejak ke sana?
Namun sesungguhnya ada satu golongan yang mengikuti dakwah hanya kerana mahukan redha Allah, maka bergembiralah dia saat Allah berjumpa dengannya dan membentangkan syurga di depannya.

Ini adalah tiga golongan yang suka untuk saya ingatkan diri sendiri terlebih dahulu, diekstrak dari tafsir Ad Dhuha.

Moga tidak lelah dalam beriman dan beramal, doakan untuk para muharik dakwah di dalam atau luar negara, moga terus maju mengalir bersama arus dakwah.

Ukhtukumfillah,
Infiru
24022013
Melaka




Friday 8 February 2013

Tentang Jalan Ini

Bismillah..

Saudaraku,

Biarlah, banyak yang mengira menapaki jalan ini, jalan para Nabi, jalan orang-orang soleh, jalan para syuhada, jalan para pejuang da'wah, adalah beban yang sangat berat. Berat, kerana harus banyak bertabrakan dengan kondisi yang berbenturan dengan keinginan. Berat, kerana selalu bersinggungan dengan realitas yang tidak sejalan dengan harapan. Berat, kerana melihat betapa kemungkaran begitu bermaharajalela. Berat, kerana harus terus menerus berjalan melawan arus yang berbeda dengan kebanyakan orang.

Biarlah orang menyangka seperti itu. Kerana sebenarnya kita justru merasakan kebalikannya. Kenikmatan, ketenangan, kebersahajaan, yang tak bisa dibayar oleh apa pun. Kerana kita justru merasakan pengorbanan itu sebagai sumber kebahagiaan. Kerana kita justru merasakan jerih payah dan kesulitan di jalan ini, sebagai kunci ketenangan hati. Kerana kita justru merasakan peluh dan darah di jalan ini, adalah syarat meraih kesenangan."

-- Muhammad Nursani
"Berjuang di dunia, berharap pertemuan di syurga"

Ukhti,
keberadaan kita di jalan ini bukan sia sia, malah rahmat dari Allah yang memungkinkan kita sampai ke hari ini. Alhamdulillah wastaghfirullah, betapa ramai yang berbondong- bondong mahu mengikuti jalan ini tetapi akhirnya tertapis oleh tribulasi-tribulasi di sepanjang perjalanan. Benar, ianya menuntut darah dan air mata, sakit kita, peluh kita, tangis kita, Allah kira, ukhti.

Ukhti,
Sememangnya fitrah jalan ini akan selalu bertentangan dengan keinginan kita, akan selalu memerlukan kita mengorbankan apa yang kita sayang, kerana di situ Allah mahu mengajar kita pergantungan sepenuhnya pada Dia, hanya Dia.

Ukhti,
Adalah suatu kemanisan bila mana semua yang pahit tadi bertukar menjadi pengalaman yang sangat berharga bagi kita sebagai da'ie. Iya, kita akan selalu menongkah arus yang beda dengan ramai orang, begitulah sifatnya orang yang asing. Asing dalam kegelapan dunia, asing dari kepekatan jahiliyyah.

Pengorbanan kita, akan terbayar segalanya bila kita sudah sampai di syurga nanti. Bersabarlah, terus bergerak dan beramal demi nama Tuhanmu yang paling Agung.

"Dulu sebelum join tarbiyyah, ana selalu doa untuk dapat syurga Firdausi, tapi fikir fikir, syurga Firdausi itu kan hanya untuk para Nabi sebab ia paling tinggi. Dan Allah sesungguhnya sangat mengabulkan doa hambaNya, Dia kurniakan ana utk berjalan di atas jalan yang dilalui oleh para Nabi terdahulu."

-kerana di jalan inilah yang akan menghantarkan kita ke syurgaNya yang paling tinggi.

Moga kita semua dapat bertemu di syurgaNya nanti.

Allah hafeez

Toriq
Shah Alam
08022013


Thursday 24 January 2013

Dalam


"Ada orang mencintai langit, lantas dia mahu jadi penerbang,
Ada orang mencintai laut, lantas dia mahu jadi penyelam,
Ada orang mencintaimu, namun ia simpan dalam-dalam,
Lantaran takut tenggelam."
-dari seseorang berhati indah

Aku simpan,
Dalam-dalam.

Moga tidak tersangkut perangkap syaitan.

Malaysia
Minggu kedua