Sunday, 18 March 2012

Seandainya Futur

Bismillahirrahmanirrahim..

Ombak masih tegar memukul pantai, camar berterbangan menghiasi dada langit senja yang kemerahjinggaan, sedang bayu pula mengalunkan zikir yang tidak pernah henti memuji asma Yang Tertinggi. Indah, Harmoni. Seluruh alam seakan bisu mendengar melodi yang menenangkan jiwa ini.

Bila hati mula merasa resah, dan kosong tanpa ruhi, tahukah kamu wahai diri? Ia sedang merindukan Al Khaliq ? Itu adalah frekuensi cinta dari makhluk yang bernama hati. Zalimlah diri jika masih mengisi hati dengan jahiliyyah dan bahan yang menjauhkan hati itu dari kembali kepada Tuhan yang menciptakannya.

Agak kekok menulis lagi di sini, bukan menyepi, tetapi kebutuhan untuk aku menyantuni setiap jiwa lebih menuntut aku di medan amal. Aku mahu jadi murobbi dan dai'e sepenuh masa, bukan hanya blogger sepenuh masa. Harus mengajar jiwa untuk berkorban, untuk beramal dengan fikrah dan ilmu yang telah diisi, agar nanti tulisan yang sedikit sahaja juga bisa menyentuh ruhi. Kerana itu, dai'e tidak hidup dengan tulisannya, tetapi ia hidup dengan amal yang tidak pernah berhenti mengalir, hingga meresapi dalam setiap kata, tulisan,perbuatan, jiwa, dan fikirannya.

Jika futur sedang menghiasi diri, ingatlah kembali, saat pertama jiwa disentuh, tidak kah kamu begitu bersemangat untuk mengubah diri ? lantas mengubah dunia dan keadaan ummah kita? Carilah kembali hati yang penuh himmah yang tinggi itu. Dekatilah mad'u-mad'u mu, nescaya akan kamu temukan semangat dalam diri mereka. Santunilah mereka, amalkan ilmu dan kongsikan dengan sahabat. Jagalah mutabaah amalmu, janganlah kefuturan mengurangkan kuantiti ibadah, seharusnya harus lebih dipertingkatkan lagi. Biar kualitinya mungkin tidak sama seperti ketika kamu sedang berjiddiyah tinggi, namun diri masih tetap berusaha untuk menjaga hubungan dengan Ilahi. Moga nanti ada kurnia Tuhan atas kesabaran kamu dalam ujian itu nanti.

Kerja kita masih banyak, lihatlah sekeliling, budak kecil diculik lalu dibakar, anak gadis dan pemuda berpeleseran, bayi-bayi kecil yang tidak berdosa ditemui dalam keadaan menyedihkan. Beginikah ummah yang mahu kita lahirkan? Kita tiada masa untuk hanyut dalam kefuturan, kerja-kerja pengislahan dan pentarbiyyah harus bergerak lebih deras dari arus jahiliyyah. Dakwah adalah suatu kerja yang besar, dan ia akan terus bergerak, sama ada kita bersamanya, atau tanpa kita bersamanya.

Ingatlah,

Seorang pemain bola akan dipanggil bodoh jika sibuk membuang kemuncup di stoking sehingga terlupa peranannya di atas padang sebagai seorang pemain bola. Boleh jadi kumpulannya kalah disebabkan sikapnya itu.

Seorang driver dipanggil bodoh jika sibuk menghalau lalat dalam keretanya sehingga terlupa dia sebenarnya sedang memandu. Boleh jadi juga kemalangan disebabkan sikapnya itu.

Sama juga dalam apa jua pekerjaan sekalipun.

Seorang daie boleh dikira bodoh jika berputus asa dan futur disebabkan:
- merasa tidak dihargai
- irihati dengan kawan
- diuji dengan pelbagai ujian
- dan lain-lain perkara yang mengganggu tugas dakwahnya.

Semoga kita tidak bodoh, dan boleh membezakan yang mana lebih utama dalam kehidupan.
~Orang yang buat kerja besar, takkan terganggu dengan kerja kecil~
(sharing dari status seorang sahabat)

Banyak masanya dalam hidup ini, kita yang perlu mengejar tarbiyyah;
 bukan cuma menunggu tarbiyah berlari mendekati kita. 

Dan saat kita merasa hati semakin memberat bila berada di jalan ini, 
ketahuilah itu tandanya jahiliyyah kembali merajai diri.

Satu hakikat yang kita perlu mengerti:
Tarbiyyah jarang sekali meninggalkan kita,
Kita yang sebenarnya selalu mengkhianati tarbiyyah itu sendiri.

Yang menulis untuk mengingatkan diri,
syafiqah
0454
Beijing,China

2 comments:

syafa mohamed said...

peringatan pika tak pernah lelah memberi kesan dan menyentuh jiwa-jiwa baru atau sudah lama;')

peluk kemas-kemas!

aijou tappuri<3

IniBlogCikHana said...

stuju dengan syafa :')
nais words...
"peluk kemas2"

kalau mcm tu, Hana nak kata peluk ketat2... hihi...

moga selalu dibwah lembayung kasihNya...

ikhlas dari hati yg sentiasa dahaga kekuatan dariNya.. ^_^