Friday, 18 November 2011

Maafkan Wahai Sahabat

Bismillahirrahmanirrahim..

Malam semakin menginjak ke penghabisan, masa-masa yang seharusnya ku isi dengan ibadah kepada Tuhan,kini dicuri sebentar untuk menulis. Allah.

Kali ini mungkin sekadar mahu berbicara tentang diriku, diri di mana bukan sekadar 'syafiqah rahmat' yang kamu kenal di medium ini. Bagaimana harus aku mulai cerita, tidak tahu, tetapi ada sesuatu yang dari dalam menggerakkan aku untuk menulis tentang ini.Sesuatu yang perlu diperjelaskan mungkin?

Mula perasan kunjungan ke blog ini semakin bertambah, bukan aku mahu berbangga, tidak, cumanya aku sekadar aneh, kunjungan-kunjungan yang aku kira seperti di luar alam sosial yang aku alami. (pelik? abaikan.) Jika mahu disimpulkan, semenjak kewujudan blog ini, Allahurabbi, Dia menemukan aku dengan golongan golongan yang aku kira, sahabat yang di luar jangkaan. satu kata, Alhamdulillah.

Sejak kali pertama mewujudkan blog ini,aku tidak pernah terfikir mahu menjadi penulis sepenuh masa, sehingga punya pembaca seperti mana sekarang.Jika kamu membaca post-post awal yang aku wujudkan dahulu, mungkin boleh melihat diriku yang dahulu, ada juga post yang aku deletekan, atau draftkan sahaja, tapi still, itu aku. Dahulu.

Menulis untuk diikuti. (?) Bukan itu yang aku mahu. tidak, aku bukan malaikat, jauh sekali menjadi manusia sempurna amalnya. Laman ini cuma luahan rasa, menggunakan bahasa yang paling dekat dengan jiwa. Aku terkejut, kaget mungkin, tetapi kemudian tersedar bahawa inilah jalan yang aku pilih, jalan dakwah yang aku berikrar mahu jalani dengan sepenuh hati, bahawa, tulisan itu juga mampu menyentuh hati manusia.

tetapi sekali lagi, mengapa? kenapa ?

Terdiam sebentar. Bila mana ada yang datang kepadaku, atas ucapan terima kasihnya kerana kehadiran blog ini telah membuatkan jiwanya dekat, dekat sangat dengan Tuhan.Alhamdulillah, ya Allah, seharusnya aku patut menghalakan penghargaan ini hanya untuk Allah, kerana Dia juga aku menulis, kerana Dia juga aku di sini. tahap ini. landasan ini. Cumanya, ingin aku jelaskan di sini, wahai sahabat, jika ada yang baik dari blog ini, dari tulisan yang tidak seberapa ini, yang mengetuk jiwamu, yang membawa kamu dekat pada Tuhan, bersyukurlah, bukan kerana tulisan ini yang membawa kamu, tetapi Tuhan kita, Allah, saja yang mampu mengetuk pintu itu. Supaya nanti di hadapan Allah, aku bisa mengatakan, " Ya Rahman, Ya Ghaffur, hari ini hambaMu yang penuh dengan dosa ini datang mengharap, di saat tiada perlindungan selain daripada perlindunganMu, di saat tiada seorang makhluk pun yang akan terlepas daripada timbangan mizan-Mu, aku mohon ya Allah, andai tulisan aku itu dapat membelaku di hadapan Mu."

Wahai sahabat, aku bukan penulis hebat, aku bukan tukang karut yang bisa bercerita tentang kisah-kisah luar cakerawala, aku tidak seperti BroHamzah, Ukhti Insyirah, Akh Hilal Asyraf, Akh Iqbal,  atau mana-mana penulis hebat di luar sana, di mana blog mereka menjadi pilihan pembaca yang mahu mencari ilmu dan redha Allah. Aku belum mampu menjadi sehebat itu, jujur. Maafkan aku andai ada mana-mana tulisan aku yang mungkin akan membawa kamu mengenali diriku yang khilaf, lompong, cacat amalnya. Malah, perjelaskan di sini, aku masih belum menemui jawapan yang konkrit, yang membawa kepada persoalan aku tadi. Atau sahaja mungkin kita berada dalam kapal yang sama, yang memudiki arus dunia, mahu kembali ke pangkuan Tuhan di sana, jadinya kamu mudah sahaja merasai apa yang aku rasakan di saat ini, rasai jiwa aku seorang pendosa yang mahu mengubah dirinya menjadi manusia yang bukan setakat bernafas dalam jiwa hamba, tetapi mahu menunaikan tujuan penciptaannya di muka dunia.

Tentang tujuan itu. Tentang Ilah yang satu.

Aku bukan puitis. Serius,jika kamu kenali diri aku yang dahulu, pasti kamu rasakan jiwa aku jiwanya batu. Susah, dan tidak percaya jika aku menangis. SubhanAllah Allahuakhbar, tetapi di saat kali pertama sentuhan tarbiyyah hinggap di hati, aku menjadi orang yang amat mudah menangis,  menangis kerana dosa lama, menangis kerana terlalu lama sudah aku leka di dunia, menangis kerana baru tersedar betapa beratnya tanggungjawab yang aku harus galasi. Allahu Allah...

Dan di jalan ini juga, Allah hadirkan sahabat-sahabat yang tidak putus memberikan semangat, dan membuatkan aku lebih mengerti hidup bukan sekadar hidup, tetapi hidup untuk Yang Maha Esa. Dan sepanjang jalan itu, ada juga teman yang keluar masuk dari hidup kita, bersyukurlah, kerana setiap kehadiran yang Allah beri itu, pasti ada sebabnya, pasti ada tujuan yang Allah mahu dia sampaikan pada kita. Jangan menangisi perpisahan di dunia.Alhamdulillah.

Aku manusia yang punya masa silam. Andai sesiapa yang baru mengenali diriku, ini yang harus aku katakan terlebih dahulu. Aku masih punya karat jahiliyyah yang membelenggu, aku masih punya hati yang kadang-kala terganggu, masih lagi berusaha untuk mencintai Yang Satu. Cinta aku pada Allah masih belum cukup, masih terlalu jauh untuk mencapai syurgaNya, mungkin graviti aku terlalu kuat paksinya pada 'dunia'. Astaghfirullahala'zhim.

Sedih,rasa bersalah. Bila orang melihat kita di sisi yang baik, sedangkan hanya diri sahaja yang tahu betapa tidak sempurnanya amal aku di depan Allah. Tidak mahu berbangga diri dengan apa yang dicapai setakat ini, kerana aku tahu,perkara yang mereka di luar tidak tahu, hari ini aku diuji dengan penghormatan, adalah kerana Allah telah menutup keaiban aku di mata mereka. Seandainya hijab aib itu terbuka, maka pastilah kamu semua tidak akan memandang aku dengan pandangan seperti hari ini.

Iman itu seperti kapal terbang, lebih jauh jarak kita dengan bumi, maka lebih kecil nilai duniawi di mata kita. Ya, iman kapal terbang. Aku suka analogi sebegitu. Iman, yang merupakan parameter utama dalam pembentukan tarbiyyah dalam diri seseorang. Iman, yang adanya ia, di dalam hati manusia, dapatlah merasai kehadiran Allah dalam kehidupan kita.

Bercerita tentang diri di sini, bukan tujuan mahu membuka aib sendiri, cumanya aku mahu sahabat-sahabat jelas akan diri hamba yang tidak lebih dari seorang berdagang yang mahu kembali memeluk Tuhan. Inilah diriku, Syafiqah, yang orangnya tidak sehebat nama, orangnya tiada punya apa-apa, yang masih malu dengan jahiliyyah lamanya.

Aku masih belajar, belajar untuk menerima dan melepaskan, untuk istiqomah di atas jalan. Jalan yang pasti akan menemukan kita dengan Tuhan. Cukuplah dengan dosa lampau, cukuplah aku membazirkan separuh usia remaja, mengejar dunia yang hina.

Satu ucapan yang aku ingin katakan, 'terima kasih sekali lagi' buat sahabat-sahabat, adik-adik yang datang berkunjung di sini, yang sudi berkongsi luahan dan cerita, yang sanggup berkongsi rasa dan cinta, walau kita tidak pernah bertemu muka. Alhamdulillah. Alhamdulillah.

Terakhir sebagai penutup kata, maafkan jika diri hamba tidak sempurna, maafkan kerana tulisan ini tidak mampu menggambarkan empunya,maafkan andai jika bertemu di alam nyata, kamu kecewa kerana aku tidak seperti disangka. maafkan, maafkan. teruskan membaca andai ia mampu mendekat di jiwa, tetapi seharusnya terus diingat, Allah jugalah yang mengetuk pintu hati kita. Bukalah mata, bukalah jiwa, hidayah itu ibarat cahaya, ia tidak menyapa kamar yang tidak dibuka jendelanya.

aku mahu menjadi seperti hujan itu,
yang tetap memberi nikmat walau di hujung rintik.
yang tetap memberi manfaat walau kemana bumi ia basahi.

~SR~
lebih buat diri sendiri.
muhasabah.
terlalu lama diri terleka.

6 comments:

qaseh ashuffi_zahirah said...

Bukankah ada yang mengatakan, jgn diungkit kisah silam yg mengaibkan jika diri skarang sudah berubah.. Kami tidak melihat masa lalumu, jika selain daripada hanya untuk mengambil pengajaran drpdnya..

siti nurwanis said...

subhanallah...alhamdulillah...setiap kali meniti bait2 kata ukhti,luruh sgala rsa hati...
allahuakbar..benar, hidayah itu milik ALlah bkn milik mnusia, bkn mnusia yg punya. bgitu juga dgn hati2 manusia, mskipn akui diri teramat kurg dan punya cacat cela namun rahmatNya mengatasi sgalanya...
ukhti syafikah, brsyukur dpt mngenali diri ukhti...smoga kt sm2 dpt mmberi mnfaat kpd smua insn, myebarkan dkwh ksh syg trmmpu yg dpt dikongsikan...salam sayang fillah! :-)

Zahidah Azman said...

Allahu Allah. :'(
Kak pika, zahidah faham sangat rasa itu. Semoga akak terus kuat.
Zahidah sayang akak.

masitah omar said...

salam ukhuwah.ya,pertama kali membaca nukilan ukhti,ana sudah tertarik.tapi setiap kata-kata itu,semua ilham dari Maha Pencipta.alhamdulillah.teruslah menulis.sebarkan cinta dari langit itu.

adahanz said...

:')
saya suka 'syafiqah rahmat' yang ini... saya blajar sesuatu dr akak juga...
Every pious has a past, and every sinner has a future....

Qautsar said...

Zahirah,

Terima kasih syg :') kerana kisah semalam, akak lebih kuat di sini. ALhamdulillah.

Ukhti siti Nurwanis,
salam sayang fillah juga ukhti! Allahuakhbar, ukhti antara sahabat yang mengenali sy di laman ini, yang menerima sy apa adanya. jzkillah kheir ukhti :') semoga kita sama2 dapat sebar kan cinta kepada dunia.

Zahidah,
Allah... akak pun sayang zahidah juga. :') semoga kita sama sama kuat !

Ukhti Masitah Omar,
salam ukhuwwah ya ukhti, Alhamdulillah Alhamdulillah, betul , ilham itu datangnya dari Allah,tinta ini cuma sebagai wasilah dariNya, semoga kita sama2 dapat sebarkan cinta dari langit itu :') jazakillah khair ukhti.

Adahanz,
:') akak pun sukaa 'suhada' yang ini :') betul betul. setiap orang punya peluang untuk bertaubat.